Program Literasi Penerangan Belia Daerah Tutong tutup tirai




Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin / Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman






BERAKAS, Sabtu, 27 Jun. - Program Literasi Penerangan bagi Belia Daerah Tutong menutup tirainya petang tadi dengan Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil yang berlangsung di Dewan Auditorium, Jabatan Penerangan, di sini.


Hadir dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta, Pemangku Pengarah Penerangan, Dayang Siti Bismi Nuruliman binti Awang Haji Emzah.


Program berkenaan disertai oleh 39 belia daripada pelbagai institusi pengajian tinggi, antaranya Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Kampus Sinaut Tutong; Universiti Teknologi Brunei (UTB); Universiti Al-Azhar, Mesir; Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB); Politeknik Brunei (Kampus Lumut); dan Laksamana College of Business (LCB).


Atur cara program hari kedua dimulakan dengan taklimat mengenai 'Perkongsian perjalanan Micro, Small and Medium Enterprises (MSMEs)' yang dikongsikan oleh Helmi Abdullah Fitness (HAF), Kampung Mata-Mata.


Para peserta juga berpeluang mendengar taklimat bertajuk 'Memahami Konsep Inclusivity' yang disampaikan oleh Pemangku Penolong Pengarah Bahagian Orang Kelainan Upaya, Dayang Nurul Nazurah binti Jaya; Pekerja tingkat II (Tetap), Awang Muhammad Jamary bin Danggat; dan Penolong Pengajar, Dayangku Hajah Razainah binti Pengiran Haji Daud, serta belajar bahasa isyarat dan tatacara penggunaan mesin 'braille' serta mobiliti bersama warga Pusat Bahagia Brunei dan Muara.


Manakala taklimat bertajuk 'Peranan dan Tanggungjawab Sebagai Rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam' disampaikan oleh Pemangku Pegawai Penerangan, Dayang Nur Zahirah binti Haji Osman, selaku Ketua Cawangan Penerangan Daerah Tutong.


Kandungan taklimat antara lain menyentuh mengenai peranan dan tanggungjawab rakyat kepada negara dan pemerintah, masyarakat serta keluarga dalam sama-sama menyumbang untuk kesejahteraan negara.


Sementara pada sebelah petang pula, para peserta mendengarkan taklimat mengenai 'Menambat Dastar dan Menapih Sinjang' yang disampaikan oleh Penyelia Adat Istiadat, Pateh Awang Haji Roslan bin Haji Asmat; dan Pekerja Adat Istiadat dari Jabatan Adat Istiadat Negara (JAIN), Awang Nur Hadi @ Eddynoor bin Haji Ali.


Selain mendengarkan taklimat, para peserta juga berpeluang mempelajari dan menyertai aktiviti menambat dastar dan menapih sinjang dengan bimbingan para pegawai dari JAIN.


Program Literasi Penerangan merupakan salah satu inisiatif Jabatan Penerangan menggunakan pendekatan Whole-of-Nation dan Whole-of-Government yang antara lain dihasratkan untuk melahirkan para belia berwawasan, mempunyai jati diri yang kukuh serta memiliki nilai luhur cintakan agama, bangsa dan negara yang tinggi serta memupuk rasa tanggungjawab ke arah memastikan Wawasan Brunei 2035 tercapai dengan jayanya.


Close